Jadilah Wanita Yang Paling Cantik Di Dunia

Kembali menyapa mengisi ruang kerinduan di taman Indahkasihku setelah lama ditinggal kesepian. Mudahan beberapa waktu ke depan, Indah dapat berinterkasi dan berkongsi ilmu secara aktif dengan teman-teman di dunia maya ini. Lama tidak menulis di blog dan mencurah sesuatu di dalamnya. Hmmm… blog memang bagus menjadi tempat untuk menuang segala yang membeban di minda dan di jiwa. Rasa ringan pula bila apa yang difikirkan dapat dikeluar dan ditulis. Alhamdulillah.

Siapa yang tidak mahu jadi cantik ? Indah juga mahu jadi cantik dan selalu mahu kelihatan cantik lahir dan batin. Indah yakin, semua wanita mahu jadi cantik. Bukan cantik biasa tapi cantik yang luar biasa. Bukan sekadar wanita yang paling cantik di tempat kerja atau di kampung atau di daerah atau di negara kita sahaja, tetapi wanita yang paling cantik di dunia.

Cantik bukan sekadar pada  bentuk fizik semata tetapi yang mengesankan adalah kecantikan dalaman yang mampu menyerlah kecantikan luarannya. Kecantikan rohani yang menyemarak wangi kecantikan lahiriahnya. Cantik itu juga harus disertai dengan kecerdikan dan kecerdasan akal. Jadilah wanita yang terpelajar, berwawasan dan berilmu. Dengan ilmu, kecantikan diri akan lebih terserlah hasil dari tempias cahaya keilmuan yang memukau.

Islam mempunyai nilaian indah terhadap maksud cantik kepada wanita muslimah. Islam menilai cantik bukan kepada luaran bentuk badannya tetapi lebih memberat kepada cantik rohani yang mengangkat martabat wanita pada kedudukan yang selayaknya diungguli sebagai wanita muslimah. Wanita yang dipelihara segala kehidupannya dengan kemuliaan melalui syariat. Dialah wanita yang tercantik di dunia kerana menghiasi kecantikan dirinya dengan takwa kepada Allah.  Subhanallah.

Kerana itu kita harus berbangga menjadikan Siti Asiah, Siti Mariam, Siti Khadijah, Siti Aisyah, Siti Fatimah, Atikah, Ummu Sulaim dan ramai lagi sebagai contoh teladan dalam kehidupan bersyariat. Mereka takutkan Allah disebabkan iman yang melekat kuat di jiwa mereka sedangkan mereka dikurniakan kecantikan lahiriah yang dikagumi oleh semua kaum lelaki di zaman mereka. Mereka memelihara kehormatan diri dari segala kemaksiatan mata dan kemungkaran hati. Mereka sentiasa tegas dalam mendalami ajaran Islam yang disyariatkan tanpa merasa susah untuk melaksanakannya. Malah redha dan ikhlas penuh kerelaan tanpa berbelah bagi. Kepintaran akal membuat jiwa mereka cantik lahir dan batin. Itulah cantik sejati. Indah sangat mengkagumi mereka seumur hidup Indah.

Tidak dinafikan apa yang cantik akan menjadi rebutan dan siulan. Apa yang indah akan selalu ditatapi dengan renungan yang dalam. Sesuatu yang cantik dan indah jika dikendali dengan ilmu dan kebijakan tentu sekali akan sangat bernilai tinggi. Ia disimpan di tempat yang kukuh sehingga tidak ada sesiapa yang dapat menyentuh dengan sesuka hati. Ia akan digilap penuh perasaan, dipelihara penuh tanggungjawab dan dikaca dengan penghargaan yang tidak terperi. Demikianlah jika yang cantik itu diberi penghargaan yang seindahnya. Oleh itu hargailah kecantikan diri dalam kesempurnaan kejadian Allah yang sangat unik dari kejadian lelaki yang memuja dan mengkaguminya.

Ibarat emas yang tersimpan di dalam lombong yang kelam di perut bumi. Ibarat mutiara yang bersemayam di istana sang tiram di kelilingi lautan air yang bergelombang. Ibarat berlian yang membenam di bumi paling dalam untuk diteroka. Bahkan, ibarat bintang gemini yang bergemerlapan jauh di langit tinggi. Cantik dan indah, namun sukar dicari dan dicapai jika tidak dengan kesungguhan hati. Demikianlah seorang wanita yang mahu kecantikan dirinya dihargai, tentu sekali akan menjaga diri untuk diteladani dan dicemburui.

Kepada wanita muslimah yang redha menjadikan Allah swt sebagai Rabbnya, Rasulullah saw sebagai suri teladannya dan Islam sebagai agama anutan yang diyakininya, maka selimutilah seluruh jiwamu dengan pakaian takwa dan  selubung malu agar engkau terhindar dari sebarang kerosakan lahiriah dan rohaniah. Dunia hari ini tidak pernah mempedulikan siapakah engkau yang berjalan di atasnya. Maka bekalan iman menjadi keutamaanmu dalam menyelusuri kehidupan ini.

Setelah engkau sanggup berikrar bahawa “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah”, apakah engkau masih mampu untuk melanggar perjanjian ikrarmu itu ? Jauhilah dirimu dari sifat-sifat wanita barat yang mewarisi segala sifat-sifat wanita zaman jahiliah. Mereka “berpakaian tetapi bertelanjang” iaitu membuka segala kecantikan peribadi yang sepatutnya menjadi kebanggaan dan hanya direnungi penuh nafsu oleh yang berhak atas dirinya bukan ditelanjangi oleh sesiapa sahaja dengan mata yang tidak mengenal dosa. Malah berbangga mempamerkannya di mata dunia. Astaghfirullah.

Bertaubatlah agar kecantikan peribadi muslimahmu akan terserlah menyinari dunia kehidupanmu. Janganlah engkau tertipu dengan Barat dan model kehidupannya. Semuanya hanyalah bayangan “fatamorgana” yang menipu daya silau matamu. Mereka tidak akan berhenti dan berputus asa untuk merosak dan menghura hara keperibadian muslimahmu untuk menurut segala telunjuk nafsu yang mengarah kepada kemaksiatan dan kemungkaran.

Lepaskan seluruh pakaian kebiadaban milik mereka dari tubuhmu. Ayuh… selubungkan kesucian peribadimu mulai saat ini dengan pakaian iman yang murni setulus hati kepada Allah saw tanpa berbelah bagi. Kesannya, engkau akan menjadi wanita muslimah  yang paling cantik peribadinya di dunia fana dan di dunia abadi.

Sedarilah kehidupan ini sangat pendek dan memerlukan kebijaksanaan akal untuk melaluinya. Berusahalah kembali ke jalan yang lurus dan benar, selagi denyut jantungmu masih mengalun irama kesegaran hidup. Selagi nafasmu belum mengisyaratkan lampu merah, maka segalanya masih terbuka untuk menuju pintu keinsafan.  Jangan habiskan sisa umurmu dengan perbuatan yang sia-sia. Jangan lazatkan nafsumu dengan memuaskan kehendaknya. Jangan biarkan waktu kehabisan minyak manfaatnya. Engkau akan jadi wanita yang paling rugi di dunia ini.

“Sesungguhnya Allah itu indah dan mencintai yang indah, murah hati dan menyukai kemurahatian,menyukai akhlak yang luhur dan membenci akhlak yang rendah.”

(HR. Al-Baihaqi)

Nukilan INDAHKASIHKU: 13 Disember 2011 (Selasa) – 9.41 malam

4 thoughts on “Jadilah Wanita Yang Paling Cantik Di Dunia

    • Benar, hati adalah sumber segala punca yang berlaku dalam tingkah laku kita seharian. Padanya bermula segala kecantikan sejati atau sebaliknya.

      Bertuah sekali, jika kita mampu mengawal hati dengan akal dan ilmu bukan dengan emosi yang mengakibatkan kesan buruk kepada kehidupan kita.

      Terima kasih saudara Akhmad.
      Salam dari Indah. 😀

Leave a comment