Mencintai Allah Dengan Hati Dan Tindakan

Apakah kita benar-benar sudah mencintai Allah SWT dengan sesungguhnya ? Jika benar, apakah bukti yang telah kita lakukan sebagai tanda mencintai-NYA ? Indah berkata begini kerana selalu ingin Cinta Allah mengatasi cinta kepada dunia. Indah ingin Cinta Allah dilebihkan kedudukannya daripada mencintai manusia. Dengan mencintai Allah, segala-gala isi dunia dapat kita raih dengan iman dan takwa. 

Seiring dengan peradaban dunia yang kian berkembang dan berteknologi tinggi. Hidup manusia semakin moden dan dipenuhi dengan segala keperluan yang menyonsong segala kehendaknya. Bersama perjalanan waktu di penghujung usia dunia, Islam pula semakin asing di hati umatnya. Ramai yang melanggar perintah Allah dan meninggalkan larangan-NYA tanpa merasa takut kepada peringatan dan amaran-NYA. Umat Islam umpama buih yang banyak di lautan tetapi sangat lemah dalam perjuangan untuk menegakkan syiar Islam.

Jangan takut mencintai Allah SWT dan menunjukkan kecintaan yang terbuka kepada-NYA. Mencintai Allah bermakna kita sanggup berjuang untuk mempertahankan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Kesanggupan kita untuk menerima cercaan, makian dan hinaan dari musuh Islam kerana ingin menegakkan kebenaran tidak akan pernah melunturkan semangat untuk mempertahankan Islam. Yakinlah, setiap perjuangan dalam menegak agama Allah akan diberi ganjaran yang besar. Bersabarlah kerana Allah sentiasa bersama mereka yang sabar.

Malah, tuntutan dakwah untuk menyedarkan umat Islam masa kini kepada mematuhi perintah Allah dan meninggalkan larangan-NYA lebih  mencabar daripada berdakwah kepada non-Muslim. Realitinya, umat Islam ramai yang tidak mencintai Allah walaupun mereka mengatakan cinta kepada-NYA. Cinta yang dilafazkan hendaklah dibukti dengan zahir yang berbuat. Sebaliknya, ramai yang tidak menunjukkan ketaatan dalam menunaikan tanggungjawab sebagai muslim sejati. Ada yang sudah terlalu jauh dari kehidupan Islam. Islam hanya pada nama sahaja, disebut di pinggir bibir. Namun jelas terpesong dari perbuatan yang terlihat.

Marilah kawan-kawan, kita berusaha menganjakkan perubahan besar dalam diri untuk mencintai Allah SWT dengan hati dan tindakan secara tulus dan ikhlas. Berpada-padalah dengan dunia dan berlumba-lumba untuk akhirat. Segala kurnia Allah berbentuk kekayaan, kesenangan dan kelapangan di dunia ini mesti digunakan untuk meninggikan syiar Islam agar kehidupan kita senang dan lapang pula di akhirat sana. Indah doakan semoga Alllah SWT memudahkan segala urusan kita untuk menuju jalan yang diredhai-NYA. Aamiin.

….. hai yang empunya diri, segala impian yang menelentang usahlah dibiarkan melayang. Tingkatkan usaha teguhkan keimanan, kau pasti menemui kejayaan.

2 thoughts on “Mencintai Allah Dengan Hati Dan Tindakan

Leave a comment